Wednesday, 29 June 2011

Israk & Mikraj@27 Rejab 1432

Hari ini 29hb Jun 2011 bersamaan 27 Rejab 1432, umat Islam di seluruh dunia meraikan Israk & Mikraj..ini bermakna kita juga sudah menghampiri bulan Ramadhan yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi..beberapa buah negeri di Malaysia turut mengisytiharkan  hari ini sebagai cuti umum iaitu Kedah, Negeri 9; dan Perlis.

Apa tue Israk & Mikraj?
Makna Israk & Mikraj nie saya petik daripada internet agar maksudnya tidak menyimpang dan terpesong..Israk' bermaksud perjalanan (rehlah) yang Allah s.w.t perlakukan kepada Nabi s.a.w secara terhormat, bermula dari Masjid al-Haram di Makkah sehingga ke masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin..Mikraj pula bermaksud kejadian yang berlaku rentetan daripada peristiwa Israk, iaitu naik dari al-Aqsa melepasi beberapa lapis langit yang tinggi sampai ke suatu peringkat yang tertinggi iaitu "Sidratul Muntaha" dimana ilmu dan akal makhluk Allah di dunia iaitu manusia & jin tidak mampu sampai ke sana.

Sejarah Perjalanan Israk Mikraj
Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai pembedahan itu, Rasulullah didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh baginda dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa (Peristiwa Israk')
Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :

  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan). Dalam perjalanan itu juga
Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah (Mikraj)
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Rasulullah SAW melalui langit pertama sehingga langit kesepuluh.

Pengajaran penting yang dapat diambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj
Menurut Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini. Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu sempurna dengan Tuhannya, maka akan sempurnalah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment